Those who lead many to justice shall shine like the stars forever
Home arrow ARTICLES arrow Along the School Corridors arrow Hilang sebutir permata - Brother Lawrence Spitzig (1918-2009)
Hilang sebutir permata - Brother Lawrence Spitzig (1918-2009) PDF Print E-mail
User Rating: / 0
PoorBest 
Written by Administrator   
Aug 27, 2009 at 05:03 PM

TMI

OGOS 27 — Tepat pukul 4.44 petang di Hospital Assunta, Petaling Jaya tanggal 18 Ogos yang lalu, saya berserta warga-warga pendidik La Salle dan St John’s Institution (SJI) telah kehilangan seorang sahabat, seorang guru dan seorang mentor yang telah banyak mencorakkan kehidupan diri kami.

Orang yang dimaksudkan itu tidak lain tidak bukan Datuk Brother Lawrence Henry Spitzig. Ya, Bro Lawrence yang merupakan satu-satunya tokoh yang diberi kepercayaan sebagai Pengetua Sekolah SJI sebanyak dua kali iaitu dari 1955-1961 dan 1979 hingga 1983, telah pun meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Pemergian beliau dalam usia 91 tahun selepas uzur untuk beberapa ketika merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada warga pendidik, pelajar dari La Salle dan SJI bahkan juga arena pendidikan negara. Kita sebenarnya telah kehilangan seorang tokoh pendidik yang sukar untuk dicari ganti. Seorang pendidik yang mempamerkan dedikasi dan keazaman yang tiada tolok bandingnya.

Sebut sahaja SJI, kita akan pasti teringat dengan Bro Lawrence. Begitu juga halnya apabila kita menyebut nama Bro Lawrence, nama SJI akan segera terlekat dalam minda kita. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Bro Lawrence dan SJI seolah-olah tidak dapat dipisahkan.


Pemergian Bro Lawrence merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada warga pendidik, pelajar dari La Salle dan SJI bahkan juga arena pendidikan negara. — Picture courtesy of Garudamas, St John's Institution, Kuala Lumpur.

Pemergian Bro Lawrence amat dirasai dan ditangisi kerana beliau diibaratkan sebagai institusi di sekolah berkenaan. Ketrampilan dan penghormatan umum kepada Bro Lawrence cukup terserlah apabila ratusan bekas pelajar dan guru, ada yang sudah pun lanjut usia kembali memberi penghormatan terakhir kepada beliau. Mereka yang datang terdiri daripada seluruh pelosok kehidupan tanpa mengira agama, bangsa mahupun keturunan.

Seperti kenalan rapat saya yang turut mengenali Bro Lawrence secara dekat, saya yang mula mengenali mendiang pada lewat 1993 turut berkongsi kesedihan di atas pemergiannya. Malah, setelah seminggu pemergiannya, hati saya masih diselubungi dengan kesedihan. Saya bagaikan tidak percaya Bro Lawrence sudah tiada lagi bersama dengan kami. Sebahagian daripada hidup saya bagaikan sudah pergi bersama dengan beliau.

Justeru, apabila saya menerima satu Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dari Dennis Hon, bekas pelajar SJI bahawa Bro Lawrence telah kembali menemui PenciptaNya yang berbunyi: “At 4.44pm today, Bro Lawrence Spitzig has gone back to the Lord” (Pada pukul 4.44 petang ini, Bro Lawrence telah kembali menemui PenciptaNya), saya bagaikan tersentak dan tanpa disedari air mata bergelinang menuruni pipi saya.

Apapun, saya redha dengan pemergian Bro Lawrence. Hidup atau mati ketentuan Ilahi dan perjalanan manusia di muka bumi ini hanyalah bersifat sementara. Saya pasti Tuhan lebih menyayangi seorang insan yang telah mencurahkan keringat kepada dunia pendidikan negara. Saya percaya beliau sudah pun berada di pintu syurga menunggu kehadiran kita semua satu hari nanti.

Saya amat bertuah kerana dapat mengenali Bro Lawrence secara peribadi. Sepanjang perkenalan kita selama 16 tahun, saya mendapati Bro Lawrence merupakan seorang yang gigih dan komited terhadap misinya. Usia lanjut beliau tidak menghalangnya untuk memberikan yang terbaik kepada para pelajar.

Setiap awal pagi, Bro Lawrence bersama-sama dengan beberapa orang La Salle Brothers yang lain akan beredar ke St John’s Cathedral untuk menghadiri misa pagi sebelum mengadakan pertemuan dengan para pelajar beragama Katolik di sekolah selepas selesainya perhimpunan pagi.

Dalam pertemuan tersebut, Bro Lawrence mengingatkan kumpulan pelajar tersebut bahawa akan ada sesi doa dan pertemuan dengan mereka setiap Jumaat selepas waktu sekolah serta mengharapkan kehadiran mereka nanti.

Ada ketikanya juga, Bro Lawrence akan menghabiskan masa di dalam chapel berdoa sebelum mengemaskan kawasan chapel bagi mempersiapkan chapel untuk sesi doa yang dinyatakan tadi.

Saya masih teringat akan kata-kata Bro Lawrence kepada saya ketika saya mula-mula menjejakkan kaki ke SJI pada lewat 1993. Beliau yang terserempak dengan saya di kawasan tangga berdekatan dengan pejabat sekolah berkata: “Young boy, study hard for your future and do not let your parents down.”

Kata-kata itu masih segar dalam ingatan saya dan saya tidak akan lupakan pesanan beliau hingga ke akhir hayat saya kelak. Sepanjang perkenalan dengan beliau, Bro Lawrence tidak pernah jemu memberikan nasihat, teguran dan tunjuk ajar kepada saya walaupun ada kalanya kesihatan beliau tidak mengizinkan.

Saya amat kagum dengan perwatakan mendiang. Pendekatan yang digunakan beliau ketika berurusan dengan pelajar mahupun guru-guru sekolah adalah lain daripada yang lain. Beliau menggunakan personal touch yang membuatkan kita semua rasa senang hati seolah-olah beliau bercakap kepada kita sebagai kawan.

Ada beberapa perkara di sini yang barangkali boleh kita ambil iktibar daripada tokoh pendidik yang ulung ini. Paling utama sekali ialah sikapnya yang tidak pernah mengenal putus asa dan semangat juangnya yang tinggi.

Saya masih ingat selepas beliau bersara sebagai Pengetua Sekolah SJI pada 1983, Bro Lawrence telah meneruskan misinya dengan mengajar di kawasan pedalaman di Sabah. Tidak beberapa lama dahulu, mendiang juga terlibat dalam projek pendidikan di Kampung Songsogon dan Kota Marudu. Pendidikan sudah sebati dalam diri Bro Lawrence. Inilah bukti komitmen dan keazaman seorang tokoh pendidik yang mahu memberikan yang terbaik kepada mereka yang memerlukan.

Malah ketika beliau menghuni di Little Sisters of the Poor Cheras semenjak lewat tahun lalu, Bro Lawrence pernah bertanya mengenai perkembangan projek pendidikan itu. Beliau juga pernah meluahkan hasrat untuk kembali ke Sabah untuk memantau projek tersebut tetapi apakan daya disebabkan masalah kesihatan yang tidak mengizinkan, hasrat itu terpaksa diketepikan.

Semasa hari-hari terakhir hayatnya, Bro Lawrence tidak mengeluh mengenai keadaan kesihatannya yang makin merosot. Sebaliknya, beliau menerima keadaan tersebut dengan tenang dan menjalani kehidupan seperti biasa walaupun menyedari pergerakannya amat terbatas.

Walaupun terlantar di atas katil selama sebulan kerana penyakit yang dihadapinya, mendiang masih berupaya mengukirkan senyuman kepada para pengunjung yang datang melawatnya. Paling menyayat hati ialah ketika saya bersama-sama dengan sekumpulan rakan seperjuangan menyedekahkan doa kepada beliau, Bro Lawrence cuba turut serta dalam sesi doa itu.

Begitu kuatnya semangat juang yang ditunjukkan oleh Bro Lawrence. Biarpun uzur, ia tidak menghalangnya untuk berdoa bersama-sama dengan kami. Hingga ke akhir hayatnya, mendiang merupakan seorang pejuang, yang berjuang dengan penyakit yang dihadapinya hingga ke hembusan nafas terakhir beliau.

Kepada Bro Lawrence — seorang sahabat, pembimbing dan mentor dalam hidup saya — terima kasih di atas segala pengorbanan, keringat, tunjuk ajar dan nasihat kepada saya. Anda telah meninggalkan impak yang cukup mendalam dalam hidup saya.

Pemergian anda tidak sia-sia. Sebaliknya, ia akan meningkatkan azam kita sebagai warga La Salle dan SJI untuk terus memperjuangkan visi dan usaha murni yang ditinggalkan beliau. Kini sudah tiba masanya untuk kita meneruskan usaha-usah murni Bro Lawrence agar generasi-generasi akan datang dapat menikmati manfaat usahanya.

Bro Lawrence Spitzig selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Kristian Cheras sekitar jam 1.30 tengah hari sambil disaksikan oleh kenalan rapat, para pelajar serta rakan-rakan seperjuangannya.

Semoga roh Bro Lawrence bersemadi dengan aman!

Fide Et Labore!

Penulis merupakan bekas pelajar St John’s Institution, Kuala Lumpur dari 1993 hingga 1999 dan telah mengenali Bro Lawrence selama 16 tahun.

Original Article Here


User Comments
Please login or register to add comments

Dear Franciscans, we hope that you will take a minute of your time to register on TheFranciscan.ORG. You will be listed and your friends, classmates & schoolmates may be able to search for you and message you using the web's system.

Upcoming Events
Franciscans Online
We have 57 guests online